Published On:Saturday, 1 December 2012
Posted by admin
Bapa Sembelih Anak Didakwa Dimahkamah
KUANTAN – Seorang bapa yang disabitkan dengan kes sembelih anak telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, semalam, atas tuduhan membunuh anak perempuannya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di rumah mereka di Felda Sungai Panching Selatan, pada malam 16 November lalu.
Mohd Aswadey Ismail, 29, seorang buruh ladang mengakui memahami pertuduhan yang dibacakan, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Tertuduh yang merupakan penagih dadah didakwa menyembelih anak bongsunya, Nor Amirah Mohd Aswadey, 11 bulan di atas katil bilik tidur rumah mereka antara jam 9.30 hingga 10.30 malam pada malam kejadian.
Beliau telah dibawa bapanya untuk menyerah diri ditahan pada malam sama, di sebuah persimpangan lampu isyarat di Batu 10, dekat sini.
Tertuduh ditahan reman seminggu sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh disyaki mengalami masalah mental.
Farahah kemudian memohon dan mencadangkan agar lelaki itu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk pengesahan kesihatan mentalnya.
Tertuduh dilihat tenang dan bersahaja dalam kandang tertuduh apabila diajukan beberapa soalan oleh Majistret Nurunaim Abdullah. Beliau juga dilihat mampu menjawab soalan dengan jelas kecuali gagal mengingati nombor kad pengenalan dirinya sendiri.
Dalam pada itu juga, tertuduh turut didakwa mengambil dadah amphetamine dan methamphetamine selepas positif ujian air kencing yang dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, jam 2 pagi, 17 November lalu.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan wajib diletakkan di bawah pengawasan polis selama tempoh tidak lebih tiga tahun.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Tarikh 7 Januari 2013 ditetapkan sebagai tarikh laporan kimia kes terbabit.
========================================================================
Nak cari cenderahati perkahwinan murah??---> KLIK SINI
========================================================================















