PELAKON YALAL CHIN MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Pelakon veteran, Yalal Chin, 67, menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini pada 12.15 pagi ini.
Jenazah Allahyarham yang telah disembahyangkan di hospital itu pada pukul 3 pagi telah dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di kampungnya.
Arwah beri isyarat.
“Kehilangannya memang mengejutkan kerana tiada sebarang pesanan, cuma arwah ada menepuk-nepuk bahu saya beberapa kali sebagai isyarat yang mungkin membawa maksud supaya menjaga diri (dengan baik) jika dia pergi buat selama-lamanya.”
Begitu kata Suriani Mohd Yusof, 37, isteri kepada pelakon dan dramatis terkenal, Yalal Chin atau nama sebenar, Yalal Abu Achin, 67, yang meninggal dunia kerana penyakit jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur kira-kira 12 tengah malam, semalam.
Sebelum itu, Allahyarham diletakkan di bawah pengawasan rapi Unit Rawatan Jantung (CCU) hospital terbabit selepas mengadu sakit dada ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh di rumahnya pada 3 Oktober lalu.
Suriani yang menetap di Bandar Enstek, Sepang, berkata dia tidak memikirkan sebarang perkara sejak arwah dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung disebabkan doktor memberikan suaminya ubat hingga menyebabkannya berada dalam keadaan separa sedar.
Menurutnya, arwah bukan koma cuma doktor berbuat demikian supaya dia dapat menenangkan diri sekali gus menurunkan tekanan darah tingginya, selain percakapannya juga tidak lancar.
"Dia (arwah Yalal) adalah seorang suami yang baik kerana kami banyak kenangan indah sepanjang hayatnya. Dia juga diibaratkan sebagai tok guru atau cikgu kerana banyak memberi tunjuk ajar terutama mereka yang aktif dalam bidang teater," katanya ketika ditemui di Taman Paya Rumput Indah, Bertam, di sini.
Jenazah arwah yang mempunyai 12 anak berusia antara 16 hingga 46 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, di sini, kira-kira 11 pagi semalam.
Sepanjang menerima rawatan, Yalal yang juga anak seni kelahiran Melaka, bergilir-gilir dijaga Suriani serta anaknya.
Yalal baru selesai menjalani penggambaran filem cereka genre drama keluarga, Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki. Dalam filem cereka terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd ini, Yalal memegang watak pelakon pembantu (pemilik gerai).
al-fatihah